Assalamualaikum wbt,

Semoga tulisan ini mendapat perhatian wakil rakyat, pentadbir, pekerja (swasta & kerajaan) serta penduduk yang ada di daerah Pontian, Johor.

Pontian adalah daerah yang terletak di hujung benua asia, kedudukan ini adalah sangat strategik untuk pembangunan sektor pelancongan namun saya dapati pihak-pihak yang terbabit tidak mengambil langkah yang serius untuk menjadikan daerah ini ke arah menjana ekonomi melalui sektor pelancongan.

Kenapa saya kata mereka gagal? Lihatlah pada apa yang sedia ada dan apa yang dirancang selama ini..agak menghampa.

#1 Pasar barang basah dan kering

Penduduk masih lagi tiada pasar basah kering yang luas dan selesa sekaligus kebanyakkan penduduk lebih suka membeli di kedai yang diklasifikasi kan sebagai kedai peruncit. Harga barang mentahPontianmenjadi lebih tinggi dengan melalui proses kitaran ekonomi ini. Penduduk sepatutnya dapat membeli barang mentah lebih murah daripada pengeluar dan pemborong. Namun kuasa membeli pembeli yang lebih memilih di kedai runcit

Apa kaitan pasar dan ekonomi pelancongan?

Berbalik kepada kedudukan Pontian yang terletak di hujung benua asia dan di kelilingi dengan sumber sungai dan laut ini mencerminkan kawasan ini adalah hub pengeluar bahan mentah. Lokasi ini patut menjadi tumpuan daerah lain untuk datang ke sini mendapatkan stok yang mereka inginkan.

Tumpuan sedemikian akan membuka selera pelancong untuk datang melawat pasar dan memberi peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan melalui jualan cenderahati, makanan minuman dan lain lain kepada pelancong.

Bandar Johor bharu, Iskandar Puteri dan Kluang tidak akan mengambil langkah seperti ini sebab mereka lebih fokus kepada sektor yang lain dan kedudukan yang tidak sesuai. Kenapa Pontian tidak ambil peluang?

Sekiranya pihak Pontian boleh menbina pasar di atas air ianya tentu sangat menarik. Kalau tidak pun, binalah pasar yang luas dan selesa di daratan seperti di bincangkan di atas.

Tambahan pula, buah nenas bergitu sinonim dengan Pontian. Kepelbagaian produk nenas seperti jeruk, jem dan lain-lain patut di usahakan dan di jual di pasar sebagai daya tarikan.

#2 Segi tiga ekonomi

Juga berkaitan rapat dengan kedudukan Pontian yang berdekatan dengan Singapura dan Karimun. Setiap bucu negeri daripada segi tiga ini mempunyai kekuatan dan kekurangan.

Kita lihat Singapura yang gah dengan ekonomi namun penduduknya lebih suka datang ke Malaysia untuk berbelanja dan melancong. Persoalannya apa yang mereka belanja dan dimana mereka melancong? Lihat pula Tanjung Balai, mereka datang dan keluar masuk hanya sebagai laluan, apa yang Pontian boleh sediakan untuk menarik mereka membeli belah di daerah ini?

Jalinan segi tiga ekonomi antara Pontian, Singapure dan Tanjung Balai

Pontian sangat dekat tetapi Pontian tidak mempunyai tarikan pelancongan yang kuat bah kan ada pelancong Singapura tidak tahu apa yang ada di Pontian. Maka adalah perlu untuk mengambil langkah serius mempekenalkan Pontian kepada Singapura dan Tanjung Balai.

Jadikan lah Agro pelancongan sebagai daya tarikan utama. Ambilah peluang untuk jadikan Pontian terkenal sebagai tempat makanan laut yang termurah di Johor (sila rujuk #1), tambahan pula jambatan di Tanjung Bin - Gelang Patah akan membuka pintu rezeki buat penduduk setempat.

Adakah penduduk setempat dan kerajaan tidak mampu membuat pelaburan? Tidaklah menjadi masalah kerana banyak syarikat swasta berminat untuk melabur dalam pelaburan ekonomi yang berpontensi, namun perlulah pihak tertentu membuka dan menarik mereka untuk melabur di sini dan bukannya hanya menunggu bulan jatuh ke riba.

#3 Kemajmukan masyarat

Penduduk disini terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Seperti kita sedia maklum setiap bangsa mempunyai kebudayaan yang berbeza dan menarik.

Ayuhlah kita merancakkan kebudayaan Jawa, Bugis, india dan cina. Pihak kebudayaan boleh mengadakan festival di hujung minggu dan aktiviti bulanan seperti zapin, gazal, tarian cina, busking, silat dan lain-lain.

Menurut wikipedia, Pontian adalah daerah ke-8 yang mempunyai penduduk cina terbanyak di Johor dan daerah lain tidak mempunyai Pekan Cina (China town) melainkan Johor Bharu. Adalah molek sekiranya kita memberikan nafas baru kepada bandar pekan nenas ataupun Benut di transformasi menjadi China Town. Berdasarkan pengalaman saya merantau di Malaysia dan luar negara, Pekan Cina tidak memerlukan bandar yang luas, sebaliknya bersifat kecil, padat dan sesak. Contoh terdekat di Malaysia ialah China Town Jalan Petaling dan Kampung Cina Terengganu. Adakah perlu saya oleh lebih dalam disini? Rasa nya dah cukup membuka mata pembaca setakat ini.

Oleh kerana penduduk pulau Karimun Indonesia adalah serumpun dengan bangsa melayu di Malaysia adalah molek juga untuk mengadakan kerjasama kebudayaan sekaligus dapat merangsang ekonomi kedua belah pihak.

Takkan nak duduk dan menunggu sahaja orang tua-tua pergi tanpa meninggalkan warisan budaya? Sayang sekali. Suntikan idea, insentif dan langkah pro-aktif haruslah di ambil. Kita perlu rapatkan etnik ras dan bangsa kita dengan mengenali budaya masing-masing.

Kita kadang kala dapat lihat masyarat berlainan bangsa banyak tidak bercampur. Bukakanlah peluang untuk kita merapatkan ukhwah dan memperkenalkan kebudayaan kepada pelancong dalam dan luar negara.

#4 Kecacatan jalan dan bangunan terbiar

Jelas sekali jalanraya daripada Ayer baloi sampailah kukup dan pekan nenas berada dalam kualiti yang sangat menghampakan. Kita dapat lihat vendor dan JKR buat kerja “tidak bertuhan”. Langsung tidak menghiraukan keselamatan pengguna, buat kerja sekadar buat sahaja. Tampal jalan hari ni, lusa berlubang kembali. Korek dan turap jalan hari ini, minggu depan rosak kembali. Di sini kita nampak pembaziran wang rakyat, sepatutnya kerja membaikpulih ini mampu bertahan sekurangnya setahun. Kita dapat tengok orang luar memberikan kecaman dalam bentuk komentar dan video yang tular di media sosial. Tidak malukah tuan dan puan?

Hal remeh temeh inilah yang membuatkan pelancong lari. Siapa yang mahu tayar terkopak? siapa yang mahu risiko kemalangan? Lebih baik dan lagi pacu 4x4 lalu denai hutan rimba Pahang berbanding jalanraya di kawasan sini.

Kesan ekonomi dan kuasa membeli yang lemah, ada beberapa kilang, bangunan kedai tidak beroperasi dan akhirnya terbiar. Contoh paling besar ialah bangunan pasaraya Billion di tengah-tengah bandar Pontian. Agak sayang sekali, namanya billion tapi rupanya ibarat kain perca lap kaki. Bangunan tidak dijaga dengan baik dan tiada tarikan. Ramai peniaga tutup kedai dan berpindah ke tempat lain. Apa yang patut nya dilakukan oleh pembangun ekonomi Pontian? Membiarkan sahaja bangunan ini. Saya cadangkan agar bangunan ini di jadikan kampus,kolej atau universiti luar. Banyak ruang boleh digunakan untuk bilik PnP dan boleh di jadikan asrama. Ini hanyalah pandangan peribadi saya yang tidak arif tentang potensi tersebut. Andaikata tidak boleh, jadi perlulah bangunan itu diselenggara semula dan hidupkan kembali pasaraya tersebut. Adalah molek juga untuk menjadikan panggung wayang (atau bahasa singkatannya pawagan) di mana mampu menarik orang ramai untuk datang.

Terbiar tanpa penghunian

Balai polis dan berek polis lama yang terbiar di Pontian juga amatlah mencacatkan pemandangan, bangunan tersebut semakin terbiar dan menjadi tempat penghunian jin, lipas, tikus dan tumbuhan yang datang tanpa izin. Adalah elok dirobohkan secepat mungkin dan tapak tersebut boleh digunapakai untuk tujuan yang lain (mungkin boleh tebus dan guna pakai sebagai tempat latihan, kem, taman dalam bandar, pasar basah kering #1, pentas budaya #2)

#5 Lubuk pemancing

memancing atas bot. Gambar rembat internet je ni Sejujurnya saya belum sempat sertai dan pergi ke semua kelong, pulau dan sungai sekitar Pontian. Namun, berdasarkan review kita dapat lihat ramai orang luar datang ke Pontian untuk memancing.

Pulau pisang adalah hak Malaysia, sampai sekarang aku tak faham kenapa kerajaan bagi singapura untuk menjaga jeti dan rumah api di situ. Banana island yang cuma 5 KM daripada Benut dan 12 KM daripada Pontian adalah tempat stategik untuk dijadikan tempat tumpuan pemancing. Kedudukan pulau di barat daya Johor yang dikelilingi perairan Selat Melaka yang kaya dengan pelbagai spesis hidupan laut tentunya mengiurkan pemancing yang tegar.

Penutup

Pakai hentam menaip dan menulis ni memang best tapi aku tahu nak merialisasikan impian semua tu tentulah sukar. Di sebabkan penduduk tidak pernah tahu apa perancangan kerajaan untuk membangunkan ekonomi setempat dan mereka sudah bosan dengan helah politik yang kerap berjanji kosong untuk membangunkan kawasan ini ataupun masing-masing tiada idea untuk membangunkan ekonomi setempat.

Dah tahun 2020 kan? Semoga berjaya, aman dan terus maju!

Edit