Assalamualaikum wbt,

Dah lama betul aku tak menulis ni, rasanya dah hampir sebulan. Sebenarnya banyak perkara yang aku nak tulis kat dalam blog ni, tapi tak sempat pula. Sibuk dengan urusan di pejabat dan urusan keluarga.

Kali ni aku buat keputusan nak menulis entri dalam Bahasa Melayu. Biasanya entri aku dalam bahasa Inggeris kan? Aku pada asalnya buat keputusan nak menulis semua entri dalam bahasa Inggeris tapi aku rasa elok aku cover juga beberapa entri dalam Bahasa Melayu. Maknanya lepas ni, blog ni akan ada entri lebih daripada satu bahasa. Amacam?

ImgurImage by Pexels from Pixabay

Baiklah berbalik pada tajuk asal iaitu “Misi membina dan meningkatkan kualiti diri” adalah sebuah misi yang aku sedang jalankan sekarang (peh, ayat macam askar tengah misi perang pula). Ini adalah sebuah misi untuk menyuburkan serta membina kekuatan luaran dan dalaman diri aku sendiri. Ya, aku nak jadi insan yang lebih baik pada diri aku sekarang. Bagaimanakah caranya?

#Agama Islam

Perkara pertama sekali aku buat ialah membaiki diri dengan mendalami ilmu agama, aku sedar sekarang ni terlalu banyak orang yang jahil dan aku masih kekurangan sesuatu dalam ilmu agama. Lebih baik aku timba ilmu agama untuk manfaat diri dan keluarga aku.

Untuk langkah pertama, aku masuk kelas mengaji. Ya aku mula dari asas balik dan aku rasa ini bagus untuk aku. Alhamdulilah, Allah nak tolong aku. Doakan aku berjaya sebab ini adalah langkah yang kritikal dalam misi ini.

#Belajar bahasa asing

Ye, sekarang ni aku tengah belajar bahasa asing. Agak-agak korang, bahasa apa yang aku maksudkan ni? Petunjuk dia adalah bahasa kedua yang banyak ditutur dalam Malaysia dan bahasa yang banyak bertutur di negeri China. Mesti korang dah boleh teka kan?

Untuk makluman, dulu aku pernah belajar bahasa Jepun tapi layu ditengah jalan (padahal aku minat gila dengan apa-apa berkaitan Jepun nih!), waktu tu aku belajar sekadar cukup makan sahaja, cukup untuk aku lulus kos tersebut di universiti. Aku asalnya plan nak sambung belajar bahasa Jepun ni semula, tapi bila aku fikir balik bahasa ni tak meluas pun. Jadi aku buat keputusan untuk belajar bahasa Mandarin!

Rasanya tak payahlah aku cerita lebih kelebihan bahasa asing ni.

Susah tu susah juga untuk belajar bahasa yang bukan bahasa ibunda, tapi insya-Allah kita cuba yang terbaik. Demi meningkatkan kualiti diri.

#Kayuh basikal

Kalau korang ikot dan baca entri aku yang lepas, mesti korang tahu yang aku ada sebuah basikal MTB sekarang ni. Ya basikal ni pun adalah salah satu pecahan misi aku. Lebih kepada kesihatan fizikal dan cara aku untuk menambahkan kenalan.

Imgur

Alhamdulillah, setakat ni aku dah berkayuh lebih daripada 200KM sama ada on-road atau pun off-road. Aku syukur sangat kat kawasan aku ni ada komuniti yang aktif berbasikal. Ada yang layan road bike, ada yang layan MTB. Pastu selalu je ada aktiviti berbasikal di sekeliling aku. Seronok wehhh!

Sejujurnya, aku suka layan off-road hehe.. masuk hutan keluar hutan. Sedut udara segar, kayuh atas tanah, layan hentakkan suspension, perah tenaga untuk kayuh mendaki bukit..pehh, feeling dia lain macam! Aku juga suka layan touring, buat masa ni aku belum lagi ke mana-mana. Sebenarnya aku patut join satu ekspedisi berbasikal dari Johor ke Riau, Indonesia tapi aku terpaksa batalkan dan lupakan hasrat tersebut sebab tarikh tak ngam pula. Aku ada urusan lain, tapi tak apalah masih banyak peluang yang lain pada masa akan datang.

Laju ke aku kayuh? Takdelah laju pun, basikal pun masih standard. Aku kayuh santai je, kayuhan untuk kesihatan. Ada masa aku kayuh perlahan, ada masa aku pecut laju berdesup dan ada masa aku menolak je kalau dah penat sangat :laughing:

Dengan aktiviti berbasikal ni, aku boleh tingkatkan kualiti kesihatan fizikal dan mental aku. Cubalah kalau tak percaya! Aku juga plan nak berkayuh dari Benut, Pontian - Parit Raja, Batu Pahat setiap kali aku ke kelas bahasa Mandarin nanti. Jauh jugak tu :yum:

#Membaca buku

Ini antara pecahan misi yang juga agak susah bagi aku. Sebenarnya aku suka membaca tapi aku perlukan suasana yang aman dan tenteram barulah aku dapat membaca dengan khusyuk. Aku kena baiki tabiat ni. Jumlah buku yang aku baca pun makin berkurang saban tahun. Maka haruslah aku mencari cara untuk kerapkan membaca buku.

Buat sementara ni aku beli bahan bacaan aku sendiri. Antara bahan bacaan yang aku minat ialah dalam bentuk ilmiah iaitu kewangan, motivasi dan IT. Oh ya, aku ada juga membaca komik sekali sekala. Sayangnya kualiti pelukis zaman sekarang agak cincai! Tak sama macam zaman aku remaja dahulu, lukisan penuh perasaan dan teliti. Mungkin pelukis sekarang ambil mudah dan lebih banyak menggunakan teknologi berbanding pen dan kertas.

Novel aku kurang minat baca sebab novel ni biasanya indah dunia angan-angan je.Aku sendiri tak faham kenapa orang suka baca sangat novel ni? Haha.. apa-apa pun semua orang ada minat masing-masing.

Dunia sekarang makin maju dengan teknologi dan dalam masa sama manusia semakin malas serta paling malang terlalu banyak sumber bacaan yang tidak berkualiti untuk otak!

Imgur

Adalah lebih baik aku membaca buku-buku yang mempunyai penulisan yang berkualiti dan timba ilmu di dalam buku tersebut sebanyak mungkin. Aku akan cuba membaca buku bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang sebanyak yang mungkin. Semoga langkah ini dapat meningkatkan ilmu ke dalam diri aku yang kudus ini.

Kesimpulan

Aku harap misi ini berjalan lancar dan boleh mempengaruhi orang-orang disekeliling aku untuk menjadi manusia yang lebih baik. Semakin lama anda belajar tentang diri sendiri, semakin tinggi kehebatan anda dan semakin mudah anda memperbaiki kelemahan. Wassalam~